PETALING JAYA – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan sekeras-kerasnya penularan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Dalam satu kenyataan, JPM berkata tuduhan yang dibuat itu sangat tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan disengajakan bagi tujuan sempit serta menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini.
“Sebagai makluman semua pihak, gambar yang tular itu merupakan salah satu sesi kunjung hormat yang dilakukan Menteri di JPM, Mujahid Yusof Rawa bersama timbalan ketua pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pengarah Bahagian Maqasid Syariah Jakim.
“(Ini) bagi memberi penerangan tentang gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa pentadbiran Islam pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tular gambar di media sosial yang menunjukkan Lim bersama Mujahid dalam satu mesyuarat.
Dalam gambar itu tertulis, “Siapa yang dominan dalam urusan agama kita sekarang ini?
“Viralkan hingga rakyat tahu kepincangan ini,” tulis kapsyen gambar itu.
JPM berkata kunjungan Mujahid itu diadakan di Kementerian Kewangan, semalam.
Tambahnya, JPM menegaskan bahawa menurut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah menteri di JPM yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukannya menteri kewangan.
JPM berkata satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas 2, Ali Muda ekoran penularan gambar tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang penularan berita palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab,” katanya. – FMT