KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kabinet semalam membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China untuk memasuki Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika mengesahkan perkara itu berkata cadangan berkenaan adalah penilaian berterusan yang diperlukan berdasarkan maklumat dan bukti berkaitan penularan COVID-19.
“Kita sentiasa membuat penilaian yang diperlukan berdasarkan maklumat dan bukti (berkaitan penularan COVID-19).
“Perkara ini (cadangan melarang pelancong dari China masuk ke Malaysia selama sebulan) dilihat sangat munasabah dan akan diambil jika ada keperluan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sambil memaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, akan membuat kenyataan lanjut, jika ada.
Difahamkan, cadangan untuk melarang pelancong dari China memasuki negara itu akan dilakukan selama sebulan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 203,156 dos vaksin influenza dijangka tiba akhir bulan ini dengan kerja mengedarkannya bukan tertakluk di bawah Kementerian Kesihatan.
Jumlah keseluruhan bekalan vaksin influenza adalah sebanyak 633,174 dos, sepanjang Januari dan Februari dengan ia direkodkan melebihi permintaan di Malaysia, berbanding tempoh sama tahun lalu. – BH Online