KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggesa Presiden negara itu, Donald Trump agar meletak jawatan.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, kedutaan itu berkata, kenyataan Perdana Menteri itu tidak mempamerkan semangat dialog yang membina yang telah menjadi asas hubungan antara kedua-dua negara sejak sekian lama.
“Kami kecewa dengan kenyataan Dr. Mahathir mengenai Presiden Trump. Sepanjang sejarah, hubungan Malaysia dengan AS telah menghasilkan keputusan yang penting kepada rantau ini dan global terutamanya kerjasama dalam bidang keselamatan, perdagangan, pendidikan, kesihatan dan alam sekitar,” kata kenyataan itu.
Dr. Mahathir dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas menyampai ucaptama pada Persidangan Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds (LP4Q) kelmarin susulan keputusan Trump mengumumkan pelan damai Timur Tengah yang dikenali sebagai ‘Deal of the Century’.
Dr. Mahathir berkata, keputusan Trump tidak adil kerana ia hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di rantau itu yang ketika ini turut dibantah berbilion orang di dunia. – Sinar Harian