PUTRAJAYA – Belum ada keperluan untuk mengadakan sekatan terhadap pelancong dari China setakat ini susulan penularan COVID-19, kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun kerajaan akan memperketatkan saringan kesihatan terhadap sesiapa yang pulang atau datang dari China.
Katanya, kerajaan akan memperketatkan proses saringan terhadap rakyat Malaysia yang terbabit dengan melakukan saringan kesihatan ‘swab test’ selain saringan kesihatan secara ‘thermal scanner’.
Beliau berkata, mana-mana individu yang didapati positif COVID-19 akan terus dibawa ke hospital dan jika hasil ujian didapati negatif mereka akan dibenarkan pulang untuk menjalani pengawasan di rumah, menurut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ia memang ada dibincangkan tetapi hari ini, kita bermesyuarat, tidak ada keperluan.
“Pemeriksaan ‘swab’ akan dijalankan di pintu masuk. Jika mereka tidak bergejala, mereka perlu melakukan pengasingan di rumah tetapi jika saringan mendapati mereka positif, mereka akan dipanggil dirawat di hospital.
“Keputusan pemeriksaan swab itu boleh diketahui dalam tempoh lima jam,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit COVID-19 pagi ini.
Semalam, media melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China untuk memasuki Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata, cadangan berkenaan adalah penilaian berterusan yang diperlukan berdasarkan maklumat dan bukti berkaitan penularan COVID-19.
Dr. Wan Azizah berkata, kerajaan juga tidak berhasrat untuk menyekat kemasukan rakyat Singapura walaupun ada kes ‘sporadik’ serta jangkitan individu kepada individu yang lain.
Bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan diperketatkan di Tambak Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Saringan pintu masuk sempadan Johor – Singapura akan diperketatkan. KKM juga akan membincangkan kaedah kawalan pemantauan dan kaedah imbasan di sempadan (masuk dan keluar) dalam forum Bilateral Joint-Working Group Committee bersama Kerajaan Singapura pada 25 Februari ini,” katanya.
Sementara itu, Dr. Wan Azizah berkata, Kementerian Pendidikan sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Pengurusan Kluster COVID-19 dan bilik gerakan jawatankuasa itu sudah mula beroperasi bertempat di Bahagian Education Malaysia (BEM) di Jabatan Pendidikan Tinggi.
Katanya, semua 20 universiti awam sudah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan COVID-19 manakala 17 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dilaporkan mempunyai SOP termasuk Xiamen Universiti Malaysia yang mempunyai ramai pelajar dari China.
Ketika ini ada seramai 11,000 pelajar China menuntut di Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.
Sehingga hari ini semua pelajar yang pulang dari China sudah melalui saringan kesihatan dan semua didapati negatif COVID-19.
“Education Malaysia Beijing (EMB) dengan kerjasama persatuan pelajar Malaysia di China sudah membangunkan ‘COVID-19 Overseas Students Management Dashboard’ bagi membantu pemantauan keberadaan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di China.
“BEM dengan kerjasama Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) dan KKM sudah membangunkan Pelan Persediaan untuk Menghalang Transmisi COVID-19 untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (The Preparatory Plan To Prevent Transmission of The Covid-19 For Malaysian Institutes of Higher Learning),” katanya.
Dr. Wan Azizah berkata, mesyuarat pagi tadi juga mencapai keputusan untuk mewajibkan pelajar warganegara China melalui saringan kesihatan kecuali mereka yang tiba lebih daripada 14 hari di Malaysia.
BEM juga sudah dan akan terus melaksanakan Saringan Kesihatan berdasarkan SOP yang dipersetujui pihak KKM dan Kementerian Pendidikan.