KUALA LUMPUR – Polis sudah merakam percakapan 12 daripada 20 individu yang disebut dalam sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Antara individu terbabit adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin serta Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Timbalan Pengarah (Risikan dan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari, berkata proses merakam percakapan membabitkan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Setakat ini seramai 12 saksi antara individu yang dikenal pasti dalam rakaman audio terbabit sudah dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Proses rakam percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad juga akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.
Yang turut memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu.
Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Abdul Azeez yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).
Senarai itu yang turut membabitkan beberapa tokoh kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.
Mengulas mengenai perkembangan siasatan berhubung Akuan Bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri, Mohd Roze berkata seramai 15 saksi sudah dirakam keterangan setakat ini.
“Beberapa saksi lain yang sudah dikenal pasti akan dipanggil dalam terdekat untuk melengkapkan siasatan berhubung permohonan Azilah untuk mengkaji semula hukuman matinya.
“Kes sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan dijadualkan untuk pendengaran pada 20 April 2020,” katanya.
Azilah yang menunggu hukuman gantung, membuat pengakuan mengejutkan dalam SD yang diikrarkannya apabila mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengarahkannya membunuh Altantuya pada 2006.
Dalam SD bertarikh 17 Oktober lalu, beliau juga mendakwa Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkannya melupuskan mayat wanita itu. – BH Online