GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam mengatakan koronavirus belum menjadi pandemik, justeru memerangi penularan khabar angin atau maklumat palsu kini menjadi sangat penting, lapor agensi berita Xinhua.
Pengarah Persediaan Bahaya Penyakit Berjangkit Global WHO, Dr. Sylvie Briand pada satu taklimat di Geneva berkata, WHO percaya wabak itu bukan pandemik tetapi wabak yang memberikan kesan pelbagai.
Kenyataan itu berdasarkan 78 peratus kes di China setakat ini datang dari wilayah Hubei yang merupakan pusat wabak itu. Terdapat juga kes di luar Hubei sebelum wilayah itu ‘dikunci’.
Dr. Briand berkata, pihak berkuasa China telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan penularan wabak dan membina hospital untuk merawat pesakit, selain sebagai usaha mengurangkan kematian.
Sementara itu, beliau berkata, khabar angin dan maklumat salah mengenai wabak koronavirus boleh menghambat usaha dan langkah yang diambil bagi memerangi virus tersebut.
Contohnya, demam kuning di Angola beberapa tahun lalu dan wabak Ebola di Congo. Wabak demam kuning, khabar angin mengatakan mereka yang divaksin tidak boleh meminum bir selama seminggu menyebabkan penurunan kadar vaksinasi, wabak Ebola pula khabar angin mengatakan penyakit Ebola tidak wujud, mengakibatkan berlaku halangan terhadap proses rawatan ke atas beberapa pesakit.
Justeru, sangat penting untuk menangani maklumat salah, terutama ketika media sosial mempercepat penyebaran maklumat tersebut.
“Ia adalah bagaimana untuk mendapatkan maklumat yang betul di tempat yang betul, orang yang betul dan pada masa yang betul,” kata Dr. Briand.