PETALING JAYA – Lesen Lynas Malaysia diperbaharui selama 3 tahun lagi sehingga Mac 2023, umum syarikat nadir bumi itu.
Ia berkata pembaharuan itu tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk membangunkan kemudahan pelupusan kekal (PDF) dalam tahun pertama dari tarikh kelulusan.
Lynas juga perlu mengemukakan pelan pembangunan kerja bagi pembinaan PDF dan melaporkan status pembangunannya, seperti yang ditentukan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB).
Syarikat itu perlu memastikan loji “cracking and leaching” di luar Malaysia beroperasi sebelum Julai 2023.
“Selepas tempoh itu, Lynas tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) ke Malaysia.”
Deposit kewangan Lynas, katanya juga, akan terus diadakan “untuk mematuhi syarat-syarat lesen yang berkaitan”.
Awal bulan ini, media melaporkan kerajaan bersetuju memperbaharui lesen Lynas Malaysia selama 3 tahun lagi.
Pada Januari, Lynas berkata ia menerima kelulusan dari Pahang untuk membina tapak pelupusan sisa operasi pengeluarannya.
Dalam mengucapkan terima kasih kepada AELB yang memperbaharui lesennya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Corporation, Amanda Lacaze, berkata mereka mengesahkan komitmen mereka kepada “rakyat kita”, 97% daripadanya rakyat Malaysia, serta menyumbang kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Sepanjang 8 tahun lalu, kami menunjukkan bahawa operasi kami selamat dan kami adalah pelabur langsung asing yang sangat baik.
“Kami mencipta lebih 1,000 pekerjaan langsung, 90% daripadanya mahir atau separuh mahir, dan kami membelanjakan lebih RM600 juta dalam ekonomi tempatan setiap tahun,” katanya.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Putrajaya bersetuju memperbaharui lesen Lynas untuk beroperasi di negara ini selama 6 bulan lagi, tertakluk kepada beberapa syarat. – FMT