KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa beliau dipecat daripada parti itu dalam mesyuarat majlis berkenaan hari ini.
Katanya, beliau kesal dengan proses pemecatan itu yang didakwa dibuat secara angkat tangan dengan turut mengambil kira undian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang didakwanya bukan ahli MKT.
“Saya reda dengan tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO), namun saya tetap setia kepada UMNO.
“Saya akan terus berjuang menentang Pakatan Harapan dan tali barut musuh dalam UMNO menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Laskar Siber Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lokman berkata, beliau akan memohon semula menjadi ahli UMNO sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi Presiden parti itu.
“Apa yang penting, rancangan Ahmad Zahid untuk memaksa 3.7 juta ahli parti mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Nasional, gagal,” katanya.
Setakat ini, UMNO belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemecatan itu.
Sementara itu, ahli MKT, Datuk Dr. Puad Zarkashi menerusi Facebooknya mendakwa Lokman dipecat daripada UMNO tanpa mengikut saluran yang betul apabila keputusan itu dibuat MKT atas syor Biro Politik bukan Lembaga Disiplin parti itu.
“Apa fungsi Lembaga Disiplin? Kenapa Datuk (Seri) Hishamuddin Hussein tidak dikenakan tindakan sama. Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Tun M (Dr. Mahathir Mohamad) tanpa memaklumkan MKT dan Presiden UMNO adalah melanggar disiplin parti.
“Ia juga tidak menghormati institusi Presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif. Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam MKT tapi gagal,” kata Puad. – BH Online