PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah menyatakan bahawa tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’ (timbal balas).
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan dalam menjawab soalan dari pihak media, Dr. Mahathir menekankan bahawa adalah prosedur biasa untuk kerajaan meminta ‘offset’ dalam pembelian berharga tinggi.
“Beliau tidak pernah menyatakan AirAsia mendapat manfaat daripada prosedur ini. Perdana Menteri menambah, jika wang disalurkan kepada individu, maka ia adalah rasuah. Jika bukan untuk kepentingan peribadi, maka beliau berpandangan ia bukanlah rasuah.
“Beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada ia adalah rasuah ataupun tidak,” kata kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, PMO menegaskan, laporan media bahawa Dr Mahathir mengatakan tuduhan pemberian rasuah ke atas AirAsia adalah transaksi ‘offset’ adalah tidak tepat dan mengelirukan.
“Pejabat Perdana Menteri memandang serius laporan yang tidak tepat dan tidak mencerminkan kenyataan sebenar Perdana Menteri,” kata kenyataan itu lagi.
PMO juga menasihatkan pihak media supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab kerana berita yang tidak tepat akan menimbulkan kesan yang tidak baik ke atas pemahaman orang ramai mengenai sesuatu isu. – BH Online