Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Baru Buka Sehari, Iran...

TEHERAN - Sebuah restoran makanan segera Halal KFC yang baharu sahaja dibuka di ibu...

Ibu Amah Indonesia Diseksa...

SETAHUN selepas kematian pembantu rumah Indonesia yang dipaksa tidur di luar bersama seekor...

Jumlah Kenderaan Di Lebuh...

KUALA LUMPUR - Jumlah kenderaan dijangka meningkat di semua lebuh raya Projek Lebuhraya...

Kerajaan Kaji Naikkan Harga...

ROMPIN - Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah yang ketika...

Malaysia Akan Bangunkan 3 Kereta, Motosikal Nasional

KUALA LUMPUR – Dr. Mahathir Mohamad menjangkakan Projek Kenderaan Malaysia akan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui sokongannya bagi industri hiliran dan huluan.

Perdana menteri berkata, projek itu – yang akan menyaksikan pembangunan 2 kereta dan satu motosikal negara – akan mewujudkan permintaan untuk bahan berkaitan lain, seperti keluli gred tinggi, plastik, getah dan produk petrokimia.

“Ia akan terus merangsang pertumbuhan sub sektor ini,” katanya pada pelancaran Dasar Automotif Negara 2020 (NAP 2020) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking serta timbalannya, Ong Kian Ming.

Mahathir berkata, cadangan Projek Kenderaan Malaysia itu akan menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggabungkan teknologi terkini untuk bersaing dalam pasaran domestik serta global.

Beliau berkata, kluster teknologi dan tenaga kerja pakar baru, khasnya dalam bidang kejuruteraan automotif akan dibangunkan.

Katanya, NAP 2020 akan menyokong teknologi hijau, termasuk pembangunan piawaian untuk ujian dan penyelidikan bagi menyokong peningkatan dalam campuran biodiesel minyak sawit.

“Semua penekanan di bawah NAP 2020 ialah komitmen kita kepada industri yang kita juga bergerak ke arah sama dengan negara utama lain demi kekal dengan aliran global, tidak kira dari segi teknologi atau alam sekitar.”


Katanya, sektor automotif tidak terhad kepada pembuatan kereta kerana ia membuka pintu kepada potensi kejuruteraan tidak terbatas yang boleh melengkapi sektor ekonomi lain.

Beliau berkata, ini digambarkan dengan baik oleh negara pengeluar automotif di mana pembangunan vendor bagi pengeluaran komponen dan bahagian mewujudkan banyak pekerjaan serta tenaga kerja mahir.

Ia turut mewujudkan banyak peluang perniagaan untuk perusahaan kecil sederhana.

“Dalam konteks ini, kewujudan industri automotif tempatan akan terus mencipta peluang lain bagi rakyat Malaysia untuk membangunkan keupayaan kejuruteraan sendiri dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam teknologi.”

Mahathir menggesa semua pemain industri, daripada pengilang peralatan asal (OEM) kepada syarikat tempatan untuk terus bekerjasama bagi meningkatkan penggunaan syarikat tempatan dalam aktiviti tambah nilai tinggi domestik serta rantaian bekalan global.

Dengan berbuat demikian, katanya, industri boleh mewujudkan limpahan ekonomi positif khasnya dalam pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan sambil mengembangkan pelaburan dan meningkatkan eksport. – FMT

Kategori