GENEVA – Untuk mengelakkan stigma buruk terhadap bandaraya Wuhan yang menjadi tempat bermulanya wabak coronavirus, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti mengenai penamaan virus baru itu.
Agensi rasmi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sebelum ini yang mengisytiharkan darurat kesihatan global menamakan ia “penyakit pernafasan akut 2019-nCoV”.
Nama itu dipilih pada tarikh kali pertama ia dikenal pasti pada 31 Disember lalu, dan “nCoV” bermaksud “novel coronavirus” – keluarga virus yang dimiliki olehnya.
“Kami fikir ia sangat penting kita memberikan nama sementara supaya tiada lokasi dikaitkan dengan nama itu,” kata Ketua Unit Kecemasan Penyakit WHO, Maria Van Kerkhove, memberitahu lembaga eksekutif agensi itu, hari ini.
“Saya yakin anda semua sudah melihat banyak laporan media yang menggunakan Wuhan atau China dan kami mahu memastikan tiada stigma,” katanya.
Keputusan akhir mengenai nama itu dijangka akan diumumkan dalam beberapa hari dan terpulang kepada WHO itu sendiri dan pakar coronavirus mengenainya. – Agensi