PELAWAK Ilya Buang, 53, membuat permohonan maaf dan meluahkan kekesalannya selepas dua minggu digam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) daripada membuat persembahan di Shah Alam.
Ilya atau lebih mesra dipanggil sebagai Pak Ya berkata, dia berharap perkara ini tidak berulang dan tidak melihat isu digam ini sebagai remeh.
“Pada saya, benda ini takkan berulang lagi dan kalau boleh, saya pun tak mahu ada lagi perkara seperti ini. Mungkin pandangan setiap orang berbeza, tapi saya ambil ini sebagai pengajaran dan tak memandang sebagai benda remeh,” katanya kepada Harian Metro.
Pak Ya yang digam selepas menggunakan lawak yang menyindir kerajaan Pakatan Harapan di pentas akhir Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) bersama kumpulan Rare juga mengingatkan kepada pelawak-pelawak lain supaya sentiasa mencari kandungan lawak yang tidak menyentuh sensitiviti.
“Kepada pelawak-pelawak lain terutamanya generasi baru, banyak benda yang boleh digunakan sebagai kandungan. Namun, perlu difikirkan juga mengenai apa yang sesuai dan tidak sesuai diketengahkan.
“Kadang-kadang, ada benda yang bagi kita tidak jadi masalah, namun, bagi orang lain mungkin ada menyentuh sensitiviti,” katanya.
Selain Pak Ya, kumpulan Rare turut dianggotai Ajak Shiro dan Ropie.
Ditanya mengenai keadaan kesihatannya, Pak Ya memaklumkan bahawa dia masih lagi menjalani rawatan diabetes sehingga ke hari ini.
“Keadaan kesihatan saya terkawal, tapi saya masih lagi dalam proses rawatan dan masih mengambil insulin sejak 2014 hingga sekarang. Selain diabetes yang saya alami sejak lebih 10 tahun lalu, tahun lalu juga doktor mengesahkan saya mengalami masalah jantung dan darah tinggi. Ia terkawal, cuma perlu rawatan susulan,” katanya.
Terbaru, Pak Ya masih lagi menantikan keputusan daripada pihak Astro sama ada dia dibenarkan beraksi di program sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 atau tidak.
“Selain itu, saya juga sibuk mempersiapkan beberapa persediaan lain seperti perniagaan dan sebagainya. Itu adalah sebagai persiapan kalau tiba masanya saya tidak lagi ada sebarang tawaran,” katanya.
Isu Pak Ya digam bermula apabila dia tampil bersama kumpulannya, Rare di pentas akhir MLM2019 pada 10 Januari lalu.
Pada ketika itu, rakan sekumpulannya, Ropie menggunakan penapis air dikaitkan dengan kandungan pH air yang dirujuk sebagai sindiran terhadap kerajaan Pakatan Harapan. – myMetro Online