KLANG – Seorang penjawat awam yang dipercayai ketua kongsi gelap digelar Ayahanda Yie Tiger 99 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, memiliki tiga pucuk pistol dan 12 butir peluru, sejak 2017 hingga akhir bulan lalu.
Tertuduh, Masyre Mohamed Narizan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki tiga pucuk pistol dan 12 butir peluru itu sejurus selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.
Tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Masyre dituduh memiliki sepucuk pistol jenis CAL.45 Star Eibar Spain berwarna perak, sepucuk pistol jenis Taurus 9mm berwarna perak dan sepucuk pistol jenis CZ75 Compact warna hitam tanpa suatu lesen atau permit senjata.
Bagi pertuduhan kedua pula, Masyre dituduh memiliki lapan butir peluru hidup jenis SME 9mm dan empat butir peluru hidup jenis S&B.45 Auto tanpa suatu lesen atau permit senjata.
Tertuduh melakukan dua kesalahan itu di bilik utama, tingkat atas di dalam rumah beralamat No 20, Jalan Seri Tanjung 16, Taman Sri Andalas, di sini pada jam kira-kira 2.30 petang, 31 Januari lalu.
Masyre dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 197 bagi tuduhan memiliki tiga pucuk pistol dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 bagi pertuduhan memiliki 12 butir peluru.
Dalam pertuduhan berasingan pula, Masyre dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Ayahanda Yie Tiger 99’ di alamat Red Warrior Muay Club, No 11A, Tingkat Tiga, Jalan Sentul, Pendamaran, Pelabuhan Klang di antara Mei 2017 hingga 23 Januari lalu.
Tertuduh diwakili peguam, Ozier Farhan manakala prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias, Mohamad Suffian Jaafar dan Muhammad Asyraf Minhad.
Mahkamah menetapkan 17 April ini untuk sebutan semula kes bagi ketiga-tiga pertuduhan. – BH Online