JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu menerusi Facebook dengan nama ‘Haziq Fahami’, kononnya semua kawasan di Forest City, di sini, dikuarantin dan ditutup kepada umum hingga minggu hadapan berikutan penularan coranavirus.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata ia susulan laporan polis dilakukan seorang pegawai perubatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, petang tadi.
“Laporan polis yang dibuat adalah berkaitan penularan maklumat palsu mengenai penyebaran coronavirus di Forest City oleh pemilik akaun Facebook – ‘Haziq Fahami’,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam kenyataan menerusi Facebook menafikan laporan yang viral di media sosial bahawa Forest City di sini, dikuarantin dan ditutup selama dua minggu.
Jabatan itu berkata ia sudah membuat laporan polis berhubung penularan viral palsu itu.
Jabatan itu mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan viral yang tidak sahih kerana ia akan mengakibatkan situasi panik dalam kalangan masyarakat.
Penyebaran berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua dan juga denda selanjutnya RM1,000 bagi tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Sementara itu, Jabatan Penerangan Johor memfokuskan kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong di negeri ini bagi memberikan hebahan dan maklumat tepat berhubung coronavirus.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata hebahan menerusi program ‘Info on Wheels’ (IOW) oleh Unit Hebahan Bergerak Jabatan Penerangan Johor itu khususnya menumpukan pusat bandar raya ini, Forest City, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta pusat beli belah Johor Premium Outlets.
“Hebahan dan pengedaran risalah mula dilakukan di seluruh daerah sejak 27 Januari lalu, namun, kita fokuskan kepada kawasan kunjungan pelawat asing di Johor Bahru, Forest City, Kota Iskandar dan Johor Premium Outlets di Kulai,” katanya di sini, semalam.
Dzulkefly berkata, dalam masa sama, hebahan menerusi IOW itu turut diadakan di program-program dan majlis anjuran kerajaan negeri. – BH Online