DUNGUN – Lelaki yang mendakwa ditabalkan sebagai ‘Raja Muda’ oleh kerajaan jin di Bukit Bauk, di sini, direman selama 14 hari, bermula hari ini.
Suspek yang berpakaian kemeja dan berkopiah hijau itu dibawa anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke Mahkamah Majistret Dungun, kira-kira jam 9 pagi tadi.
Majistret Hazwani Hussain Bustari membenarkan perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 34 tahun bagi membantu siasatan lanjut AADK.
Suspek kemudian dibawa ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Besut untuk siasatan lanjut.
Media sebelum ini melaporkan lelaki itu ditahan di sebuah surau di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk kira-kira jam 3.30 petang semalam dalam satu serbuan membabitkan lima agensi.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, sekali gus ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.
Berikutan itu, suspek yang berasal dari Dungun disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Suspek didakwa mendirikan pelbagai binaan, malah menghias kawasan di dalam dan luar surau serta pondok di lokasi terbabit dengan kain berwarna kuning.
Selain itu, semua tingkap surau terbabit ditutup dengan sejadah supaya tidak dimasuki cahaya.
Suspek turut memasang lilin di semua tingkap surau berkenaan dengan mendakwa perlu mengerjakan ibadat dalam suasana gelap.
Perbuatannya itu menyebabkan orang ramai takut untuk singgah menunaikan solat di surau terbabit. – BH Online