Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Tragedi Anak Tahfiz: Seorang...

KUALA KRAI - Seorang lagi mangsa kemalangan di Kampung Telekong di sini pagi...

Bomba Selamatkan Lelaki Cuba...

KOTA KINABALU - Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan seorang lelaki...

67,500 Kg Beras Cuba...

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri Johor merampas 2,700 beg...

Samsung Lancar Galaxy Note...

BERLIN - Pengeluar telefon bimbit terbesar dunia, Samsung Electronics Co Ltd hari ini...

Ramai Minta BSH Dinaikkan

KUALA LUMPUR – Pembukaan kaunter untuk permohonan dan mengemaskini maklumat peribadi bagi pembayaran fasa kedua dan ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 pada hujung minggu mendapat sambutan baik orang ramai.

Tinjauan Bernama di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta dari pukul 9.00 pagi hingga 12 tengah hari Sabtu lepas mendapati lebih 100 individu hadir, sama ada untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi mereka.

Secara umum, orang ramai yang hadir menzahirkan maklum balas positif dan rasa puas hati dengan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan BSH tetapi berharap kerajaan mempertimbang untuk meningkatkan pembayaran mengikut pelbagai kategori – isi rumah, individu bujang dan orang kurang upaya (OKU).

Fasa pertama BSH melibatkan pengagihan peruntukan berjumlah RM1 bilion, yang bermula pada 20 Januari, melibatkan 3.8 juta penerima berdaftar dalam kategori isi rumah.

Seorang pengawal keselamatan yang hanya ingin dikenali sebagai Hery, 41, berkata beliau berharap kerajaan meningkatkan jumlah geran BSH daripada RM300 kepada RM500 bagi individu bujang yang berpendapatan di bawah RM2,000.

“Pendapatan bulanan saya hanya sekitar RM1,600, saya perlu membayar banyak komitmen termasuk sewa RM600 setiap bulan. Jika BSH boleh ditingkatkan menjadi RM500 pasti akan membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya dan wang itu juga boleh disimpan untuk waktu kecemasan atau untuk membeli barangan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Supiah Surip mencadangkan LHDN meneliti jumlah pembayaran yang lebih tinggi untuk individu bujang atau sudah berkahwin yang mempunyai masalah kesihatan bagi mengurangkan bebanan kos perubatan mereka.

“Saya sendiri telah didiagnosis dengan kanser payudara beberapa tahun lepas di mana saya perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di hospital setiap bulan dan perlu mengeluarkan banyak wang. Jika LHDN dapat meningkatkan bayaran BSH untuk orang seperti saya, ia benar-benar akan membantu,” katanya.

Bagaimanapun, seorang ibu tunggal beranak dua, S. Valliammah meluahkan kekecewaan kerana mendakwa tercicir daripada menerima BSH pada 2019 tanpa diberikan sebarang alasan.

“Pada 2019 saya memohon BSH tetapi selepas menunggu lama, saya tidak mendapat jawapan (sama ada diluluskan atau tidak). Saya cuba memohon sekali lagi tahun ini dan jika saya masih tidak layak, LHDN wajar memberitahu saya mengapa permohonan ditolak. Hakikatnya, saya amat memerlukan BSH kerana suami saya telah meninggal dunia dan saya tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.


Sementara itu tinjauan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, di sini, pada Ahad mendapati kira-kira 180 individu hadir untuk mengemukakan borang BSH mereka.

Nilai geran BSH ialah RM1,000 untuk pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM2,000 dan ke bawah, RM750 bagi mereka yang berpendapatan RM2,001-RM3,000, RM500 bagi mereka yang berpendapatan RM3,001-RM4,000 dan tambahan RM120 setiap kanak-kanak (terhad kepada empat orang kanak-kanak sahaja).

Bagi pemohon bujang dengan pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 dan ke bawah, nilai geran adalah RM300 dan diberikan secara sekali bayaran (one-off).

Bayaran ini dijadualkan untuk tiga fasa – Januari, Mei dan Ogos 2020.

Penerima yang layak di sekitar Kuala Lumpur boleh mengunjungi cawangan LHDN terdekat di Jalan Duta, Jalan Raja Chulan, Wangsa Maju dan Cheras, serta di UTC Pudu untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi mereka.

Pusat-pusat ini dibuka pada Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi hingga 5.00 petang), dan pada hujung minggu pada 1 dan 2 Feb serta 14 dan 15 Mac (9.00 pagi hingga 4.30 petang).

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai BSH dan syarat kelayakan.

Kategori