REAL Madrid sedia berbelanja besar apabila berhasrat membida penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dengan harga £250 juta (RM1.337 bilion), menurut laporan di Sepanyol.
Mbappe, 21, terbabit insiden pertelagahan di tepi padang dengan pengendali PSG, Thomas Tuchel selepas pemain itu digantikan ketika juara Ligue 1 itu membelasah Montpellier 5-0 pada Sabtu lalu.
Hubungan kedua-duanya mula tegang dan Tuchel dipercayai menjelaskan insiden itu di hadapan keseluruhan pasukan dan pengarah sukan, Leonardo selepas tamat perlawanan.
Menurut Mundo Deportivo, Real Madrid dijangka menguji pendirian PSG dengan tawaran bidaan rekod dunia untuk membawa pemain muda berprofil tinggi itu ke ibu kota Sepanyol.
Mbappe berada di kemuncak prestasi bersama juara Perancis itu musim ini. Dia menjaringkan gol keempat ketika menewaskan Montpellier untuk jaringan keseluruhan 14 gol daripada hanya 16 aksi liga musim ini.
Penyerang muda itu menghangatkan lagi perpindahan ke Madrid dengan menyukai post Karim Benzema di Instagram yang meraikan kemenangan ke atas Atletico Madrid.
Gergasi La Liga itu mencari pengganti berpotensi menggantikan Benzema dengan Mbappe menepati semua kriteria diperlukan.
Mbappe turut dikaitkan dengan pengendali Liga Perdana, Liverpool sejak kebelakangan ini, jadi Real Madrid sedar mereka perlu bertindak pantas bagi mengelakkan pemain itu berpindah ke Anfield. – Agensi