PETALING JAYA – PAS berkata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail patut meletakkan jawatan dan menunggu sekiranya akan dilantik semua oleh perdana menteri “baru”.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan sinis beliau yang juga seorang menteri Kabinet terhadap Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad adalah gambaran perbuatan “kurang ajar”.
“Kenyataan Saifuddin bertajuk “PAS sokong Mahathir selepas kleptokrat kesayangan hilang kuasa” sekali lagi menggambarkan PKR berada di ambang kejatuhan.
“Mengikut amalan demokrasi yang biasa, langkah yang paling wajar bagi seorang menteri yang tidak sekata dengan perdana menteri adalah meletakkan jawatan dari Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Saifuddin, ketika bercakap kepada sebuah portal berita, membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengulangi pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.
Beliau berkata, semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju Mahathir memiliki kelebihan kepimpinan sekali gus bersetuju untuk diangkat sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, kenyataan Saifuddin bahawa perpaduan dan persefahaman dalam PH begitu padu pula amat melucukan tatkala seluruh rakyat dapat melihat betapa perbalahan dan perebutan kuasa dalam PKR semakin serius dan parah.
Beliau berkata, Saifuddin sepatutnya menumpukan kepada usaha menyelesaikan ribut dan taufan dalam partinya daripada bertindak menyerang parti pembangkang yang bukan urusannya.
“PAS yang mempunyai 18 orang ahli Parlimen berhak membuat pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal dan pada masa yang sama menolak sebarang usaha dan cita-cita individu tertentu yang berhasrat menjadi perdana menteri Ke-8 dalam penggal ini,” katanya. – FMT