TIADA sidang media atau pengumuman mengenai pembentukan kerajaan baharu dibuat selepas Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, malam ini.
Rata-rata Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO dan PAS, meninggalkan hotel secara beransur-ansur tanpa menemui media yang sedia menunggu sejak petang.
Ketika disapa dan ditanya mengenai majlis yang berlangsung malam ini, masing-masing kelihatan tersenyum sambil menunjukkan isyarat positif.
Antaranya termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika ditanya menyifatkan pertemuan itu sebagai ‘agak bagus’ manakala Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin hanya berkata ‘esok’.
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, tidak memberi sebarang komen, sebaliknya memberi isyarat penuh yakin dengan pertemuan itu dengan menggenggam tangannya.
Sementara Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Hilman Idham, pula tersenyum ketika ditanya mengenai hasil pertemuan itu.
Terdahulu, media dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak hadir pada pertemuan itu, manakala sidang media yang dikatakan akan diadakan bagi mengumumkan sesuatu yang besar, tidak diadakan.
Bagaimanapun sumber dalaman mengesahkan sebarang pengumuman penting mengenai pembentukan kerajaan baharu hanya akan dibuat paling awal Rabu ini. – myMetro Online