NILAI – Masyarakat tidak perlu risau untuk bergaul dengan pesakit COVID-19 yang sudah pulih atau individu yang disahkan negatif selepas dikuarantin, kerana mereka bebas daripada virus berbahaya itu.
Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Dr. Nur Adibah Shaharul, berkata individu yang disahkan negatif dua kali berturut-turut selepas menjalani ujian, bebas daripada virus berkenaan.
“Masyarakat perlu faham pesakit yang sudah sembuh daripada COVID-19 atau hasil ujian negatif dua kali berturut-turut, mereka tidak membawa virus ini. Tak ada yang perlu dirisaukan oleh masyarakat,” katanya ketika ditemui di pusat pemantauan (HSC) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dekat sini hari ini.
Seramai 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu susulan wabak COVID-19, dibenarkan keluar dari pusat pemantauan berkenaan hari ini selepas tamat tempoh kuarantin.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata sampel ulangan bagi mereka disahkan negatif jangkitan COVID-19.
Mereka yang dibenarkan pulang itu termasuk dua kes yang sebelum ini positif COVID-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Dr. Nur Adibah yang juga berperanan sebagai penyelaras pasukan Kementerian Kesihatan bagi operasi HSC itu berkata, lokasi itu akan melalui proses pembersihan secara klinikal terutama bilik yang didiami mereka.
Katanya, ini termasuk disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya.
Kumpulan 107 orang itu dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.
Mereka kemudiannya dibawa ke AKEPT untuk menjalani pemantauan selama 14 hari, mulai 4 Februari lalu.