KUALA LUMPUR – “Telah aku tunaikan Bamm (Abam), walaupun hanya gurauan, kini menjadi kenyataan,” demikian luahan hati pelawak dan pelakon, Achey menjawab permintaan Allahyarham Abam yang minta menyempurnakan pengebumian seandainya ditakdirkan bertemu ajal.
Sebelum ini, Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah pernah memuat naik status mengucapkan selamat hari lahir buat arwah Abam, tahun lalu. Dalam komen balas, arwah menjawab ‘Love u so much. Semoga kita kekal sampai mati. Fad, Achey kalau aku mati tolong kebumikan aku tau…’
Pagi tadi, Achey berkongsi paparan skrin perbualannya dengan arwah.
Nyata, permintaan arwah Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, sudah ditunaikan Achey apabila pengebumiannya disempurnakan, semalam.
Kira-kira 2,000 tetamu mengiringi perjalanan terakhir arwah Abam yang menghembuskan nafas terakhir dalam tidur dipercayai demam panas selepas Subuh, semalam. Pelawak disayangi ramai itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak kira kira jam 7.20 malam.
Achey bagaikan hilang kata-kata selepas teman baiknya mengadap Ilahi. Kelihatan anggota kumpulan Bocey itu tidak mampu menahan tangisan sepanjang pengebumian arwah Abam.
“Saya pasti merindui setiap keletah yang mengusik hati. Terlalu cepat arwah meninggalkan kami. Saya sebak, selepas setahun perbualan di bawah entri mengucapkan hari lahirnya yang ke-31, dia tiada lagi,” kata Achey.
Katanya, dia dan Fad bersedia mengambil alih tawaran kerja yang sudah dipersetujui arwah sebelum ini.
“Saya dan Fad berjanji jika ada tawaran kerja berlakon atau apa saja yang dipersetujui, kami akan melakukan secara percuma demi arwah dan keluarganya.
“Itu sahaja yang dapat dilakukan, sekali gus mengurangkan bebanan balu arwah dan keluarganya,” katanya.
Dalam pada itu, Achey berharap single dendangan arwah berjudul Sikasih yang dimuat naik di laman YouTube sejak Februari tahun lalu akan terus ditonton ramai.
“Sejak saya minta peminat tonton muzik video lirik lagu Sikasih semalam, jumlah tontonan menghampiri satu juta. Lagu ciptaan Zimi Sofaz dan lirik oleh Rongak antara karya yang arwah tinggalkan untuk kita dengarkan,” katanya. – BH Online