KUALA LUMPUR – Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas harga simen mendapati tiada kenaikan harga berlaku di peringkat pengilangan simen.
Menteri berkenaan Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, pemeriksaan itu dibuat berikutan aduan yang diterima daripada Persatuan Pembina Johor (JMBA) serta melalui media sosial berhubung dakwaan berlakunya kenaikan harga simen dari 20 hingga 50%.
āBertindak daripada aduan tersebut, Bahagian Penguatkuasa kementerian pantas memulakan siasatan sejak 3 Februari 2020 lagi dengan melawat pengadu, kilang-kilang yang diadu serta mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pemain industri berkaitan untuk membekalkan maklumat yang diperlukan oleh pihak kementerian.
āHasil daripada maklum balas Notis 21 AKHAP 2011 terhadap 4 pengilang simen utama berkenaan, didapati tidak berlaku kenaikan harga simen di peringkat pengilangan simen,ā katanya.
Beliau berkata, serahan Notis Pengesahan Maklumat Barangan dan Notis bertulis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 telah dikeluarkan KPDNHEP pada tarikh tersebut kepada 4 pengilang simen utama iaitu Slag Cement (Southern) Sdn. Bhd., Lafarge Cement Sdn. Bhd., Holcim (Malaysia) Sdn. Bhd. dan YTL Perak Hanjoong Simen Sdn. Bhd.
Saifuddin berkata, berdasarkan perbandingan harga tahun ke tahun yang dibuat terhadap 4 kilang terbabit bagi tempoh 4 tahun berturut-turut bermula 2017 hingga tahun ini, didapati berlakunya penurunan harga dan kos untuk simen di peringkat pengilang.
Bahagian Penguatkuasa kementerian katanya, akan menyediakan laporan terperinci berkenaan kenaikan harga simen setelah siasatan lengkap dilakukan di peringkat pemasaran am.
āDalam mengorak langkah ke hadapan, pemeriksaan akan diteruskan di peringkat pemasaran am bagi mendapatkan butiran atau maklumat lanjut berhubung harga yang ditawarkan kepada peringkat pengedar,ā katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita tanpa fakta atau bukti yang berasas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, bukti atau ingin membantu siasatan boleh menghubungi KPDNHEP melalui saluran aduan KPDNHEP iaitu Portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), WhatsApp 019-279 4317 atau lapor/hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.