KUALA LUMPUR – Jumlah pekerja yang diberhentikan sejak kemunculan jangkitan Covid-19 masih menunjukkan trend normal dan tiada peningkatan secara mendadak, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Kementerian itu dalam kenyataan semalam berkata, seramai 8,588 pekerja kehilangan pekerjaan setakat 18 Feb dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membelanjakan RM21 juta membantu mereka.
Katanya, kenyataan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika Covid-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini hanya spekulatif.
“Anggaran ini tidak mengambil kira pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan bagi melindungi pekerja dan menambah baik kecekapan pasaran buruh negara untuk menangani pelbagai cabaran sosio-ekonomi, termasuklah ancaman Covid-19,” menurut KSM.
Katanya, tahun lalu, seramai 40,084 pekerja kehilangan kerja dan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Perkeso, seramai 18,745 pekerja berjaya ditempatkan semula sementara selebihnya masih menerima bantuan dan khidmat sokongan SIP.
Menurutnya, tahun lalu, KSM melalui Perkeso membelanjakan RM107 juta bagi membantu pekerja terjejas dengan memberikan faedah kewangan dan khidmat sokongan pekerjaan.
KSM menggalakkan pekerja terjejas membuat permohonan di https://eis.perkeso.gov.my/ dan mendaftar sebagai pencari kerja di https://eisjobs.perkeso.gov.my/ atau hadir ke mana-mana pejabat Perkeso terdekat untuk menerima bantuan SIP.
SIP menyediakan faedah kewangan segera, iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi tempoh 3 hingga 6 bulan.
Pekerja yang layak akan menerima EMP sebanyak 80% daripada gaji bulanan anggapan bagi faedah SIP bulan pertama, 50% pada bulan ke-2, 40% pada bulan ke-3 dan ke-4 serta 30% pada bulan ke-5 dan ke-6.
KSM menegaskan tindakan memberhentikan pekerja ialah langkah terakhir yang boleh diambil majikan dan ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya tanpa mengikut lunas undang-undang.