KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menafikan laporan yang mendakwa Ahli Parlimen PAS dan UMNO menandatangani akuan bersumpah (SD) menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Annuar berkata, UMNO dan PAS kekal memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen dibubarkan.
“Laporan berkenaan tidak benar. UMNO dan PAS tetap dengan pendirian supaya Parlimen dibubarkan, supaya rakyat dapat membuat penyelesaian muktamad kepada masalah yang sedang dihadapi pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, sebarang kenyataan lain berhubung perkara berkenaan hanya akan dikeluarkan secara rasmi oleh beliau atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kelmarin, Annuar berkata, Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PAS berpendirian Parlimen dibubarkan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara ketika ini. – BH Online