UMNO sedia menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sekiranya beliau membentuk satu gabungan yang baru dengan syarat gabungan baru itu tidak melibatkan parti DAP.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa membuat pengumuman itu pada sidang media khas bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan di Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, UMNO sebagai sebahagian daripada Muafakat Nasional memohon supaya parlimen dibubarkan jika kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk Dr Mahathir mengambil DAP sebagai salah satu gabungan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Muafakat Nasional yang terdiri daripada komponen Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak boleh bersekongkol dengan DAP.
“Kami tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Sehubungan itu, kami sebulat suara tidak akan sertai kerajaan,” katanya.
Menjelas lanjut, Annuar berkata, mereka tidak mahu bersekongkol dengan DAP kerana tidak mahu menjadi hipokrit.
“Kita belajar dari sejarah, Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana ada pihak dalam gabungan itu yang hipokrit. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” katanya. – myMetro Online