SERAMAI 225 rakyat Malaysia di Bangladesh selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, misi berkenaan adalah kerjasama Kementerian Luar, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan Parti Kongres India Malaysia (MIC).
Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata, semua rakyat Malaysia itu tiba di tanah air jam 5.46 pagi tadi.
“Semua mereka dibawa pulang menerusi penerbangan sewa khas Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dibiayai sepenuhnya parti MIC.
“Mereka yang dibawa pulang terdiri 130 pelajar, 55 pegawai dari Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, 35 ekspatriat dan lima tanggungan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka,” katanya menerusi siaran media di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang itu sudah menjalani proses saringan kesihatan di KLIA.
Menurutnya, mereka juga perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebagaimana ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kelmarin, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa sidang akhbar secara langsung melalui Facebook di Wisma Putra merakamkan terima kasih kepada MIC.
Beliau dipetik berkata, meluahkan penghargaan kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang tampil membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara.
225 rakyat Malaysia tiba dari BangladeshMIC sebelum ini membiayai enam penerbangan membawa pulang seramai 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Thiruchirappali (Trichy), India melalui penerbangan AirAsia. – myMetro Online