PUTRAJAYA – Penggunaan tiga jenis ubatan, Chloroquine’, Hydroxychloroquine dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’, dilihat memberikan kesan kepada rawatan pesakit COVID-19 sejak ia dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata Chloroquine’ dan Hydroxychloroquine, yang sebelum ini digunakan untuk rawatan pesakit malaria, diberikan kepada pesakit COVID-19 kerana ia bersifat anti radang.
Katanya, ia berikutan penyakit COVID-19 menyebabkan saluran pernafasan bawahan mengalami radang.
Beliau berkata, apabila virus COVID-19 melekat di saluran pernafasan bawahan ia akan menyebabkan radang dan juga replikasi virus itu.
“Ini menyebabkan radang di saluran pernafasan bawahan dan menyebabkan radang di kawasan itu. Ubat ini membantu radang saluran pernafasan.
“Itu kita sudah lama guna ubat ‘Lopinavir/ Ritonavir’ bersama dengan Hydroxychloroquine,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, ubatan berkenaan dicuba berikutan ada kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain Malaysia terbabit dalam penyelidikan bersama dengan negara lain.
“Ia melihat kepada ubat-ubatan yang katanya tadi dengan ubat yang terbaharu semalam.
“Pada gelombang pertama, kita gunakan tiga jenis ubat ini nampak berkesan tapi kita kena jalani penyelidikan jadi data kita akan kutip.
“Tapi kadar kematian semakin meningkat kerana pesakit kita yang berusia dan ada penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, selain ada pesakit yang datang lewat untuk mendapatkan rawatan selepas berlaku masalah pernafasan dan juga jangkitan kuman,” katanya.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, 100,000 kit ujian COVID-19 diterima dari China, adalah untuk ujian di makmal dan bukan bagi kit ujian rapid.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti makmal yang akan menggunakan kit ujian terbabit.
Pada masa sama, katanya, KKM juga sudah menerima bekalan reagen atau bahan uji bagi COVID-19 untuk semua hospital melaksanakan ujian dengan kapasiti penuh.
“KKM juga akan meneruskan ‘outsourcing’ ujian kita dengan tujuh makmal swasta,” katanya. – BH Online