KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjejaki seramai 4,000 peserta ijtimak tabligh di Masjlid Seri Petaling, dekat sini, dianjurkan pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak semua peserta program berkenaan tampil membuat saringan COVID-19 di fasiliti kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan peserta ijtimak itu yang belum dapat dikesan segera tampil membuat saringan COVID-19.
“Saya faham, ada kebimbangan terhadap kumpulan tabligh yang masih lagi tidak dikesan iaitu seramai 4,000 lagi. Polis membuat keputusan, mereka sendiri akan kesan (peserta ijtimak).
āMereka yang masih belum tampil buat saringan (COVID-19) dan sebagainya, saya minta kumpulan tabligh itu supaya datang ke pusat kesihatan tanpa perlu dicari,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini. – BH Online