KUALA LUMPUR – Kementerian Luar masih berusaha membawa balik seramai 4,374 rakyat Malaysia yang masih terkandas di 56 negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata seramai 2,156 di India, Indonesia (680); Australia (226); New Zealand (153); Thailand (337); Arab Saudi (121); Pakistan (128); Filipina (54); Sri Lanka (50) dan Emiriah Arab Bersatu (43).
Katanya, jumlah rakyat tempatan yang terkandas di India dijangka berkurangan apabila lebih ramai dapat dibawa pulang melalui 11 penerbangan sewaan khas.
Katanya, seramai 179 rakyat Malaysia yang terkandas di Amritsar, India dilapor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.50 malam semalam.
“144 warga tempatan terkandas di Myanmar baharu tiba di KLIA menggunakan pesawat khas Malaysia Airlines MH 741, pada jam 3.50 petang tadi.
“Kedutaan Malaysia di Yangon dengan kerjasama Malaysia Airlines bekerjasama dengan Kerajaan Myanmar untuk memberi kebenaran khas penerbangan pesawat dari Malaysia ini, walaupun negara berkenaan membatalkan semua kemasukan penerbangan komersial sejak 30 Mac lalu.
“Kedutaan kita di Yangon terus komited bagi memastikan kebenaran khas sama dapat diberikan pada masa akan datang bagi memastikan warga tempatan di Myanmar dapat pulang ke Malaysia dengan segera,” katanya pada sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihati rakyat Malaysia di luar negara yang mahu pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum arahan penggantungan penerbangan dikuatkuasakan kerajaan di mana mereka berada.
“Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan serentak ke Bolivia sudah memberi bantuan konsular sewajarnya kepada 18 rakyat tempatan yang terkandas di Bolivia.
“Kedutaan kita sedang meneliti alternatif bagi membantu mereka, memandangkan Kerajaan Bolivia sudah mengisytiharkan ‘lockdown’ (perintah berkurung) dan menangguhkan sebilangan besar penerbangan,” katanya. – BH Online