KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar ibu kota hari ini.
Baginda yang memandu sendiri bersama anakandanya turut meninjau sekatan jalan raya polis.
Antara lokasi yang baginda lalui termasuk di Jalan Semantan, Sri Hartamas, Loke Yew, Ampang serta meronda di sekitar Jalan Bukit TAR, Bukit Bintang, Sultan Ismail dan KLCC.
“Saya dapati banyak lagi kenderaan di jalan raya dan ini sudah tentu tidak menunjuk yang baik.
“Saya harap ini dapat dikurangkan secepat mungkin kerana ia (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk kebaikan bersama masyarakat dan Malaysia khususnya di Kuala Lumpur,” titahnya yang mana video itu disiarkan menerusi akaun Instagram Istana Negara.
Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus membendung wabak COVID-19. – BH Online