Oleh: Wan Iskandar Wan Ismail
APAKAH Gagasan Tiga (G3) terkubur sesudah tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan yang ditunjangi oleh DAP?
Apakah perjuangan G3 telah selesai apabila DAP bukan lagi kerajaan tetapi menjadi parti cauvinis yang akan tetap memberi saingan kepada Perikatan Nasional menjelang PRU14?
Apakah senyapnya G3 ini berbaloi setelah pimpinannya bukan sekadar di saman ratusan ribu ringgit, disumbat ke dalam lokap, turun naik mahkamah dan berulang-alik ke balai polis semata-mata mahu menjatuhkan DAP?
Apakah G3 wajar untuk berdiam diri setelah mencetuskan ‘fenomena’ bangsa DAP – suatu istilah yang digunakan oleh segenap pihak termasuk UMNO dan PAS dalam ceramah, kenyataan media dan bual bicara untuk menghentam DAP?
Itulah antara persoalan yang bermain di fikiran ramai orang-orang Melayu terutama ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang ternanti-nanti perkembangan perjuangan G3 yang terdiri daripada lebih 40 NGO Melayu, Islam.
Mereka ternanti-nanti perkembangan G3 kerana di ketika DAP menjadi kerajaan, G3 yang dikepalai oleh Datuk Azwanddin Hamzah bersama-sama bekas pimpinan DAP, Amran Ahmad Nor boleh dikatakan satu-satunya yang secara agresif menyedarkan masyarakat Melayu tentang ancaman dan bahaya DAP.
Memang banyak pihak yang menentang DAP sebelum 2018, tetapi semenjak parti Cina cauvinis lagi rasis itu muncul menjadi kerajaan pada PRU14, suara-suara penentang DAP kian menyepi tetapi G3 tidak menoleh ke belakang, sebaliknya mengisytiharkan perang ke atas DAP.
Akibatnya, usaha murni G3 menyaksikan Azwanddin tersungkur dengan tangan bergari di depan Mahkamah Klang selain berulang-alik ke balai bersama-sama Amran dan Raggie Jessy Rithaudeen serta Ariffin Abu Bakar yang menjadi antara penggerak awal G3.
Namun, usaha keras dan pengorbanan ini menjadi berbaloi apabila rakyat negara ini mulai sedar tentang realiti politik tempatan dan ancaman oleh bangsa DAP sehingga membawa kepada peralihan kuasa kerajaan Persekutuan di Putrajaya, baru-baru ini.
Buktinya? UMNO dan PAS bekerjasama kerana adanya DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula keluar dari Pakatan Harapan kerana tidak tahan dengan DAP manakala GPS juga menolak kerjasama dengan sesiapa jua yang ada hubungan dengan DAP.
Selain itu, jutaan umat Melayu mengadakan himpunan ICERD kepada DAP, keluh-kesah penjualan aset Tabung Haji juga kerana terkait dengan balaci DAP serta banyak lagi sebab umat Melayu ini bersatu kerana wujudnya bahaya DAP yang kerap-kali dilaungkan oleh pimpinan G3.
Jadi, bila mana DAP telah tersungkur dan kembali menjadi pembangkang, apakah ini bermakna perjuangan G3 telah selesai walaupun fakta menunjukkan DAP masih memiliki 42 ahli Parlimen yang disokong oleh PKR Anwar yang memiliki 40 ahli Parlimen dan Parti Amanah Negara dengan 11 ahli Parlimen?
Sejujurnya, saya mengharapkan G3 tidak merasakan perjuangan mereka telah selesai kerana DAP yang ada hari ini lebih kuat berbanding DAP yang ada pada PRU14 dan dengan keberadaan mereka dalam kerajaan selama hampir 2 tahun, pastinya, DAP adalah kuasa yang lebih bertenaga untuk mendepan lawannya pada PRU15.
Memang akan muncul lebih banyak suara-suara ‘pejuang’ Melayu yang menentang DAP selepas menjadi pembangkang kini, tetapi, bagi saya, G3 yang menentang DAP tatkala DAP menjadi kerajaan tetap mendapat tabik sping dan harus dihormati.
Harapan saya, kerajaan Perikatan Nasional, jangan ambil mudah atau terlepas pandang dengan rekod pencapaian G3 dan sewajarnya mereka ini dihargai dan diberikan peranan untuk terus melanyak DAP pada semua PRU, PKR yang akan datang.
Jika ada pimpinan G3 yang terbaca penulisan saya ini, ingatlah bahawa rakyat Malaysia terutama masyarakat Melayu sedar, hargai dan menyokong perjuangan kamu semua, walaupun secara lahiriahnya nampak kabur tetapi doa kami tetap bersama G3. – Mynewshub.TV