KUALA LUMPUR – Kerajaan China hari ini menghantar bekalan perubatan ke Hospital Sungai Buloh, dalam usaha membantu Malaysia menangani penularan wabak COVID-19.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Kedutaan China di Malaysia berkata, bekalan perubatan berkenaan kini dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh.
Kedutaan itu turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan bekalan perubatan dimasukkan ke dalam lori dan dalam pergerakan menuju ke Hospital Sungai Buloh.
Menyifatkan ia sebagai “tindakan segera kumpulan pertama peralatan perubatan dari China itu dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh.”
Turut tertera pada kotak yang membawa peralatan itu, bendera kedua-dua negara dan perkataan ‘Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing’ dan ‘Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Diturun!’.
Selasa lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata China menyatakan komitednya membantu Malaysia dengan membekalkan peralatan perubatan seperti penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman.
Ia hasil kunjungan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian pada sesi kunjungan ke Wisma Putra di Putrajaya. – BH Online