BEIJING – Seorang pegawai kerajaan China menuduh tentera Amerika Syarikat (AS) yang membawa Covid-19 ke negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Zhao Lijian membuat dakwaan itu menerusi Twitter sekali gus mengulangi teori konspirasi di media sosial.
Antara lain, teori itu menyalahkan AS sebagai punca penularan wabak yang kini diisytiharkan pandemik.
Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China sudah mengesahkan punca wabak itu dari haiwan liar yang dijual di pasar di pusat bandar Wuhan.
Namun, kebelakangan ini, pegawai dan pakar kesihatan China membuat dakwaan virus asal itu kemungkinan datang dari tempat lain.
Ia sebagai tindak balas Beijing selepas AS menggelar penyakit itu ‘Virus Wuhan’.
Dalam ciapan di Twitter, Zhao memuat naik sebuah video menunjukkan Ketua CDC AS bercakap di Kongres bahawa ada rakyat Amerika yang mati disebabkan selesema kemudian disahkan positif Covid-19.
“Siapa pesakit pertama dan bila ia bermula? Berapa ramai yang dijangkiti?
Apakah nama-nama hospital terbabit?
“Kemungkinan memang tentera AS yang membawa wabak itu ke Wuhan. Tolonglah telus! Umumkan data anda. Jelaskan kepada kita!” ciap Zhao penuh amarah.
Sebelum ini, seorang pegawai AS membangkitkan kemarahan China selepas mengaitkan virus itu dengan China.
Setiausaha AS, Mike Pompeo menggelar Covid-19 sebagai ‘Virus Wuhan’. – Agensi