KUALA LUMPUR – Malaysia tidak membenarkan kapal persiaran berlabuh di pelabuhan negara ini berkuat kuasa serta-merta, susulan wabak COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata larangan itu sehingga situasi bertambah baik dan penularan jangkitan virus itu dapat dikawal.
Beliau berkata, memandangkan kemunculan gelombang kedua kes COVID-19 di Malaysia, baru-baru ini dan seluruh dunia, pelbagai langkah sudah diambil pihak berkuasa Malaysia bagi menyekat penularan dalam negara dan melindungi kesihatan awam.
Dr. Noor Hisham berkata, kemasukan dan persinggahan kapal persiaran, penumpang serta anak kapal memerlukan penyediaan sumber perubatan yang banyak di pelabuhan bagi tujuan saringan dan rawatan.
“Dalam tempoh yang sukar ini, adalah penting lebih banyak sumber perubatan bertumpu kepada hospital yang berdepan kecemasan perubatan dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan.
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersama kementerian dan agensi yang lain mengambil keputusan tidak membenarkan kemasukan kapal persiaran ke pelabuhan Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui, industri kapal persiaran adalah komponen penting dalam sektor pelancongan Malaysia dan sudah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.
“Kita berharap ini hanyalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.