KLANG – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengehadkan jumlah kemasukan individu di dalam lif kepada lapan orang bagi mengekalkan jarak sosial untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19).
Dalam kenyataan di Facebook rasminya, semua kakitangan dan pelawat hospital perlu mengikuti saranan tersebut.
“Untuk makluman semua kakitangan dan pelawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, selepas ini hanya 8 orang sahaja dibenarkan menggunakan lif dalam satu masa bagi menggalakkan jarak sosial (social distancing) di dalam lif.
“Kita lawan Covid-19 bersama-sama,” tulisnya.
Pengumuman ini disambut baik pelawat hospital dan berharap langkah itu dapat memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Netizen dikenali Talha berkata, laksanakan apa cara terbaik agar wabak ini dihapuskan.
“Buat apa saja untuk kita hapuskan wabak ini di bumi tanah tumpah darah ku ini. Insya-ALLAH mudah-mudahan dengan sokongan padu kalian semua,” katanya.
Kata Zena pula, “Mereka boleh gunakan tangga juga kerana ia bagus untuk senaman dan kesihatan.”
Rfah Hjt pula berpendapat, langkah itu adalah idea yang terbaik bagi membendung wabak Covid-19. – Sinar Harian