HOSPITAL Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang menjejaskan imej hospital itu dan kredibiliti kakitangan serta pegawai perubatan dalam mengendalikan Covid-19.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Nora’i Mohd Said berkata, video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.
Video kedua pula adalah dari saluran YouTube, milik seorang lagi selebriti yang memperkatakan dan menyokong isu dibicarakan oleh pemilik selebriti pertama.
Dr. Nora’i berkata, isu berkenaan diperbesar-besarkan dengan perkataan-perkataan kesat terhadap petugas kesihatan yang menjalankan tugas.
“Pengurusan Hospital Putrajaya memandang serius akan perkara ini dan turut kesal dengan penularan video tersebut,” katanya.
Beliau berkata, orang awam seharusnya lebih peka dengan keadaan semasa wabak Covid-19 dan setiap petugas kesihatan sudah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan ditetapkan sepanjang mengendalikan wabak itu.
“Petugas keletihan dan terpaksa mengenepikan ahli keluarga masing-masing demi tugas yang bahaya ini.
“Penularan ini memberi tekanan emosi kepada petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat seperti ini,” katanya.
Dr Nora’i berkata, laporan polis itu dibuat bertujuan mendapat tindakan sewajarnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang tidak menghormati tugas anggota paramedik.