PUTRAJAYA – Susulan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara, Hospital Sungai Buloh (HSB) di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.
Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr. Suresh Kumar Chidambaram, berkata ini bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.
“Kami maklum sesetengah hospital berhadapan masalah katil tetapi pengalaman di Sungai Buloh, kami sudah menyelesaikan pengurusan katil, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit COVID-19 di hospital ini,” katanya
Dr. Suresh berkata demikian pada sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan pengamal media di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon dan Pakar Kesihatan Awam, Dr. Wan Noraini Wan Mohamed Nor.
Tambahnya, ketika ini tingkat empat dan lima hospital itu dikhususkan untuk pesakit COVID-19 masing-masing dengan 112 katil, sementara tingkat tiga pula dengan 14 katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikhaskan kepada mangsa yang serius dan memerlukan bekalan oksigen serta rawatan rapi.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, jabatan sedia ada di dua tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke fasiliti perubatan berhampiran supaya HSB boleh memberi tumpuan kepada penyakit berjangkit seperti kes COVID-19.
Ditanya mengenai kemungkinan kedudukan HSB sebagai hospital khusus untuk penyakit berjangkit hanya sementara COVID-19 berakhir, beliau berkata terdapat permintaan untuk mewujudkan sebuah hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal.
“Selain HSB sebagai pusat perubatan yang dikhususkan merawat kes COVID-19, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan yang sama,” katanya.
Dalam majlis yang sama Dr Chong, berkata virus COVID-19 disebarkan melalui titisan kecil bukannya menerusi udara dan ia boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin yang tertutup berbanding di bawah sinar matahari kerana suhu tinggi mampu membunuh virus berkenaan.
“Apabila titisan kecil jatuh ke atas lantai, ia mati apabila kering tetapi jika anda batuk pada tangan, ia boleh menjadi pembawa jangkitan. Justeru, jangan menggosok muka atau mata dengan tangan dan selalulah membasuh tangan,” katanya.