POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi memberi amaran sebaliknya akan terus menangkap individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis diberi tanggungjawab memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi masyarakat dan ia cabaran amat tinggi buat pasukannya.
“Kita (PDRM) tidak lagi ada amaran dan seterusnya. Pendekatan kita selepas ini jika ingkar akan ambil tindakan sekeras-kerasnya, kalau perlu penangkapan kita akan buat.
“Masih lagi ingkar kita akan laksanakan tangkapan ini. Jangan memaksa kita dan mengundang masalah. Duduk saja di rumah,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, hari ini.
Selain cabaran memastikan pematuhan masyarakat terhadap PKP, Mazlan berkata, PDRM turut menerima aduan mengenai kes penipuan penjualan penutup mulut dan hidung.
Menurutnya, sebanyak 393 kes penipuan dilaporkan kepada polis di seluruh negara setakat ini, membabitkan jumlah kerugian bernilai RM1.1 juta.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 26 individu sudah ditahan dengan beberapa orang dituduh di mahkamah.
Selain itu, penularan berita palsu juga antara situasi dihadapi polis ketika negara berperang dengan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).
Menurutnya, sebanyak 94 kertas siasatan berita palsu dibuka dengan enam daripadanya sudah dituduh di mahkamah manakala baki masih dalam siasatan.
“Berita palsu ini penyakit minda segelintir masyarakat yang susah dibentuk supaya jangan mengganggu jiwa masyarakat. Di dalam situasi begini pun masih ada lagi mereka yang sengaja mengolah dan berkongsi berita palsu. Polis sentiasa mengambil tindakan.
“Ada juga yang membuat tohmahan, kata keji dan memaki hamun anggota keselamatan yang bertugas. Hal ini juga kita akan siasat dan cari mereka sampai dapat,” katanya. – myMetro Online