KUALA LUMPUR – Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini berada di fasa akhir penyelesaian yang hanya membabitkan usaha merungkai konflik perundangan antara Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof, mengakui hampir 70 peratus isu berkaitan kuasa pentadbiran dalam MA63 sudah diselesaikan dan mendapat persetujuan bersama.
Sehubungan itu, beliau menyuarakan kepentingan untuk merungkai kemelut MA63 kepada Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet pertama semalam, selain keperluan melihat kembali Perkara 1(2) dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
“Seperti diumumkan, Perdana Menteri akan secepat mungkin mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg).
“Secara prinsip, Perdana Menteri bersetuju untuk memberikan keutamaan supaya perkara dalam MA63 dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus memulangkan kembali hak Sabah dan Sarawak seperti dipersetujui dahulu.
“Dari segi pentadbiran memang sudah dipersetujui, sekarang ini lebih kepada konflik antara undang-undang Persekutuan dengan undang-undang peringkat negeri.
“Itu yang memerlukan perincian lanjut, termasuk pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan bersama membentuk Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet semalam dilaporkan berkata akan mengadakan mesyuarat dengan parti dari Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan MA63 serta pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat itu akan diadakan secara bersama dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Negeri Sabah dan Sarawak) yang diterajui Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.
Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuba meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April, tahun lalu tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga bagi diluluskan di Dewan Rakyat, selepas Ahli Parlimen dari Sarawak dan pembangkang memilih untuk tidak mengundi.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sebelum ini berkata, Ahli Parlimen GPS tidak mengundi untuk menyokong pindaan dibawa kerajaan PH kerana ia tidak memasukkan frasa ‘mengikut Perjanjian Malaysia 1963’.
Pada Disember lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, pindaan itu akan dibentangkan semula bulan ini dan memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen. – BH Online