PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan supaya jentera kerajaan mengambil perhatian serius bagi melaksana dan mempercepat pelaksanaan Belanjawan 2020 serta Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang baru diumumkan, minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan petang ini, berkata dalam pertemuan antara Muhyiddin dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen serta pegawai kanan kementerian terbabit, beliau diberikan penerangan mengenai situasi ekonomi semasa, kedudukan fiskal dan hutang negara serta langkah PRE.
Kenyataan itu berkata, perdana menteri turut menekankan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemah dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh, selain perhatian diberikan kepada kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan serta setiap projek yang akan dilaksanakan perlu diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan dan hutang kerajaan.
“Perdana menteri juga berpandangan peruntukan belanjawan tahunan seharusnya dapat mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi menjana pendapatan rakyat dan negara.
“Keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, menurut kenyataan sama, perbincangan juga bertumpu kepada agenda untuk memperkasa aktiviti ekonomi domestik dan memastikan kesejahteraan rakyat, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih kompetitif.
“Berhubung dengan langkah PRE, Kementerian Kewangan perlu memastikan pelaksanaan semua inisiatif berjalan dengan lancar dan segera serta memantau keseluruhan impak dan prestasi langkah PRE ini,” katanya.
Pada pagi tadi, perdana menteri, mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selama lebih dua jam, bermula jam 9 pagi.
PRE bernilai RM20 bilion yang dilancarkan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Khamis lalu, ditunjangi oleh tiga strategi untuk menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
Malaysia antara negara terawal mengumumkan pakej rangsangan selepas Singapura berbuat demikian menerusi Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai S$4 bilion (RM12 bilion) sebelum ini. – BH Online