JAKARTA – Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Sulawesi bagi mengenal pasti rakyat Malaysia yang menyertai acara Ijtima of Asia 2020.
Susulan pemerintah Indonesia membatalkan acara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar, berkata kedutaan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Sulawesi bagi memastikan rakyat Malaysia yang menyertai program itu menjalani pemeriksaan kesihatan, sebelum tindakan selanjutnya dan sewajarnya dilakukan.
Menurut media tempatan yang memetik Gabenor Sulawesi Selatan, Nurdin Abdullah, peserta tabligh dari wilayah lain di Indonesia dibataskan pergerakan mereka, dikawal pihak polis ke pelabuhan dan lapangan terbang, selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Manakala 411 peserta dari negara luar, akan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum mereka dibenarkan pulang.
Menurut media tempatan, warga asing yang hadir itu adalah dari sembilan negara, termasuk 83 peserta dari Malaysia, selain dihadiri lebih 8,000 peserta Indonesia dari pelbagai wilayah.
Rakyat Malaysia di Sulawesi atau keluarga mereka di Malaysia yang mengetahui ahli keluarga tertentu sedang berada di Sulawesi diminta menghubungi kedutaan di talian +62 813 8081 3036, atau e-mail ke kedutaan di [email protected] atau [email protected].
“Kita melarang rakyat Malaysia sertai acara itu, larangan keluar negara untuk rakyat Malaysia berkuat kuasa semalam, tapi mereka yang hadir itu datang lebih awal dan tidak mendaftar dengan kedutaan,” kata Zainal Abidin kepada Bernama.
Menurut media tempatan yang memetik jurucakap Presiden Indonesia, Fadjroel Rachman, perhimpunan tabligh yang dihadiri ribuan peserta itu yang bermula hari ini hingga 22 Mac ini, dibatalkan berikutan kebimbangan acara itu berkemungkinan menularkan COVID-19.
Zainal Abidin berkata, berdasarkan pengumuman kerajaan Malaysia, rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan dikuarantin selama 14 hari, bagi memastikan mereka bebas dari jangkitan COVID-19.
“Rakyat Malaysia di Sulawesi yang mahu pulang ke tanah air (yang tidak menghadiri program tabligh itu atau jika terdapat mereka yang hadir dan terlepas dari dikuarantin), mereka masih boleh mendapatkan penerbangan tertentu ke Malaysia, dan mereka yang terbabit akan menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia,” katanya.
Pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu dilaporkan lebih 10,000 menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang menyebabkan berlakunya penyebaran COVID-19, dan peningkatan drastik kes positif virus itu di Malaysia.