KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Tommy Thomas bahawa pelantikannya sebagai Peguam Negara sebelum ini adalah lantikan politik didakwa menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat.
Peguam, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata ia secara tidak langsung menunjukkan sebarang keputusan dibuat Tommy ketika memegang jawatan itu berlandaskan arahan kepemimpinan negara.
“Kenyataan Tommy sangat salah. Sekarang ini, ia hanya menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat umum.
“Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) mendapat nasihat daripada Perdana Menteri (ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad) sebelum berkenan lantik Peguam Negara. Itu tidak bermakna ia menjadi lantikan politik.
“Persoalan sama ada Tommy membuat keputusan sebelum ini dengan pengaruh politik turut ‘berlegar’ di fikiran semua rakyat,” katanya pada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, lebih mendukacitakan lagi, peletakan jawatan Tommy pada 28 Februari lalu, tidak kena pada masanya berikutan situasi kemelut negara.
“Tiada Perdana Menteri dan kerajaan yang berkuasa ketika Tommy meletakkan jawatannya.
“Istana Negara memerlukan nasihat dan panduan daripada Peguam Negara bagi melalui saat getir itu,” katanya.
Tommy sebelum ini dilaporkan berkata beliau mengambil keputusan meletak jawatan susulan perubahan pemerintahan politik di negara ini walaupun kontrak perkhidmatannya berakhir Jun depan. – BH Online