PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet pertama dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memutuskan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah segera mendepani cabaran ekonomi negara.
Muhyiddin berkata EAC yang dipengerusikan oleh beliau sendiri, akan bersidang setiap Isnin dengan mesyuarat pertamanya pada 16 Mac ini.
EAC akan dianggotai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beberapa individu berwibawa lain akan dipilih dan dipanggil untuk menganggotai EAC termasuk Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
“Semua jemaah menteri sedar terutama dalam situasi ekonomi meruncing dengan harga minyak yang turun ke paras US$30 setong, turun 31 peratus sudah tentunya akan memberi kesan kepada sumber dana kerajaan.
“Ini dibebankan lagi COVID-19 yang telah berlarutan selama beberapa minggu dan memberi impak amat besar kepada negara terutamanya dalam soal ekonomi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet itu di sini, hari ini.
“Ini adalah tindakan segera yang kita ambil untuk tunjukkan kepada negara bahawa kita tidak berlengah-lengah,” kata Muhyiddin.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata Sekretariat bersama EAC akan dibentuk menerusi penglibatan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Menjelang mesyuarat pertama EAC itu, Muhyiddin juga meminta pihak-pihak berkepentingan untuk mengemukakan apa sahaja perkara dan masalah menerusi kementerian-kementerian berkaitan untuk dimaklumkan kepada EAC dalam usaha mencari jalan penyelesaian.
“Ini termasuk membabitkan kumpulan berdepan masalah iaitu B40 yang dibebani dengan kos sara hidup agak tinggi dan tidak mampu ditanggung mereka. (Perkara) ini akan diberi perhatian selain langkah-langkah lain,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang diumumkan kerajaan terdahulu akan diteliti semula, termasuk jika wujud keperluan untuk menambah jumlah peruntukan.
Menurut beliau, ini bagi memastikan kumpulan-kumpulan sasar mendapat manfaat daripada pakej tersebut selain langkah-langkah umum bagi memulihkan keyakinan pelabur.
Muhyiddin berkata Kementerian Kewangan yang dipertanggungjawabkan bagi meneliti pakej tersebut dan akan dilancarkan “dalam tempoh seminggu dua yang akan datang.”
“(Perkara ini) Jangan dilambat-lambatkan,” katanya.
Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri interim ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut yang bernilai RM20 bilion.