KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April ini bagi membela nasib syarikat di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkhidmatan itu merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.
Malah, beliau berkata kerajaan menjangkakan ia berupaya memberi penjimatan aliran tunai kepada mereka dengan nilai anggaran RM10 bilion.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 480,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat yang terjejas, di samping menyelamatkan lebih lapan juta pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini. – BH Online