KUALA LUMPUR – Pengerusi Bukan Eksekutif, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie, bersara hari ini, selepas 16 tahun memimpin syarikat utiliti negara itu, menjadikan beliau sebagai individu paling lama memegang jawatan berkenaan bermula April 2004.
Berucap pada majlis meraikan persaraannya, semalam, Moggie merakamkan penghargaannya kepada warga kerja Lembaga Letrik Negara (LLN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bersama-sama menjalankan tanggungjawab TNB sebagai ‘Penggerak Kemajuan Negara’.
“Sepanjang 16 tahun saya berkhidmat, saya rasa bertuah kerana disokong oleh warga kerja, kesatuan, pihak pengurusan dan lembaga pengarah dalam memastikan TNB melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan profesional.
“Kemajuan industri elektrik di negara ini adalah hasil tugas dan amanah yang dilaksanakan warga kerja LLN dan TNB, dari dahulu sampai sekarang ini dan andalah yang memastikan cahaya sentiasa menerangi kehidupan kita,” katanya.
Anak kelahiran Kanowit, Sarawak itu, berkata legasi dan tradisi kerja TNB perlu diteruskan bagi memacu kemajuan negara di masa hadapan.
Moggie yang pernah berada dalam Kabinet selaku Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (1998-2004), memulakan khidmatnya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TNB bermula April 2004.
Pada majlis sama, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Moggie terhadap jasa dan sumbangannya sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif TNB.
“Pengalaman luas beliau dalam industri tenaga memberi manfaat yang besar kepada TNB sebaik dilantik pada 2004 dan sebagai mengenang jasanya pusat konvensyen baharu yang sedang dibina di Kampus Ibu Pejabat TNB Bangsar akan dinamakan sebagai Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie.
“Dengan siapnya pusat konvensyen itu pada penghujung tahun hadapan, nama Tan Sri akan sentiasa terpahat di hati setiap warga kerja TNB,” katanya.
Moggie akan digantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sehingga 11 Mac 2023. – BH Online