KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 makmal diagnostik tambahan disediakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19.
Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, memaklumkan 10 makmal diagnostik tambahan itu memiliki keupayaan untuk membantu KKM melaksanakan 42,420 ujian saringan dalam sebulan, atau 1,414 sehari.
“Bagi membantu KKM meningkatkan kapasiti ujian saringan COVID-19, KPT dan MOSTI menyediakan 10 makmal diagnostik tambahan di institusi pengajian tinggi (IPT), hospital universiti, serta satu makmal bergerak yang boleh dihantar ke kawasan titik panas (hotspot).
“Semua 10 makmal diagnostik tambahan ini akan dapat melaksanakan 42,420 ujian saringan sebulan atau 1,414 sehari.
“Selain itu, proses penilaian kit ujian COVID-19 yang dibangunkan oleh Mediven, sebuah syarikat tempatan akan dipercepatkan,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, memaklumkan KKM kini memiliki 23 makmal termasuk lima makmal swasta yang menjalankan ujian saringan COVID-19.
Beliau menjangkakan KKM mampu menjalankan sehingga 16,000 ujian saringan setiap hari bermula bulan depan, berbanding 3,500 ujian sehari ketika ini. Jumlah itu jangka meningkat kepada 7,000 ujian sehari minggu depan.
Sementara itu, menjawab persoalan netizen yang bimbang negara bakal terjerumus dalam pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi pada waktu yang sama, Khairy menjelaskan, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat ini, adalah bagi mengelak perkara itu berlaku.
“Kita mahu elakkan kedua-duanya, sebab itu pakej rangsangkan ekonomi (akan diumumkan).
“Namun, jika pandemik ini tidak diatasi terlebih dahulu, segelintir daripada kita mungkin tiada untuk melalui kemelesetan,” katanya. – BH Online