PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan tugas sebagai Perdana Menteri hari ini mempunyai jadual bertemu denganĀ Ketua Setiausaha Negara dan ketua-ketua jabatan serta agensi bagi menyelaraskan perjalanan pentadbiran kerajaan.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menyatakan tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan bagi Muhyiddin hari ini.
Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin memasuki Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, di sini bagi memulakan tugas hari pertamanya sebagai perdana menteri hari ini.
Pada hari pertamanya, beliau mempunyai jadual temujanji denganĀ Ketua Setiausaha Negara,Ā Datuk Seri Mohd Zuki Ali;Ā Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.