PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lokman Hakim Ali, di pejabatnya, di sini.
Ia bagi mendapatkan penerangan mengenai sektor perdagangan antarabangsa dan pelaburan asing dalam negara.
Satu hantaran yang dimuat naik melalui akaun Facebook Muhyiddin pagi ini, turut menyertakan empat gambar pertemuan yang turut dihadiri oleh pegawai tertinggi daripada MITI.
Pada pertemuan sama, Lokman juga memberi penerangan mengenai status terkini penganjuran sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dengan Malaysia sebagai tuan rumah, pada November tahun ini.
Sejak memulakan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia, Isnin lalu, Muhyiddin sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan kepemimpinan tertinggi kementerian bagi mengetahui status dan kedudukan kementerian terbabit setakat ini.
Kelmarin, Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Ketua Ekonomi, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Dr. V Sivabalasingam dan Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican untuk mengetahui status terkini pelaksanaan Belanjawan 2020 serta Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan Khamis minggu lalu.
Perdana Menteri turut mendengar taklimat Status COVID-19 oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Kesihatan. – BH Online