KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan ekonomi Malaysia berdepan dengan risiko besar susulan penularan Covid-19 yang mengancam ekonomi dunia, ditambah pula dengan harga minyak yang merudum ke paras AS$45 setong.
Kebimbangan itu berdasarkan kemungkinan Malaysia tidak mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk berdepan dengan krisis ini.
Beliau mendakwa, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah merosakkan segala kebaikan dan kelebihan pengurusan fiskal negara pelan transformasi untuk menjahanamkan negara.
Jelasnya, PH telah mendedahkan negara dengan risiko yang besar apabila defisit kerajaan dan Perbelanjaan tahunan kerajaan yang meningkat dengan sangat tinggi, unjuran dalam bajet yang sering jauh dari sasaran yang menyebabkan bajet tahunan tersasar dan menjual aset-aset negara yang memberi pulangan besar secara lambak, menjejaskan kepelbagaian hasil kepada negara.
”Setiap andaian untuk pertumbuhan ekonomi juga salah. Lim Guan Eng unjur kadar 4.9% untuk tahun lepas, kita dapat 4.3%. Dia unjur 4.8% dalam bajet untuk tahun ini tetapi kini telah diturunkan ke 3.2% hingga 4.2%.
“Kenaikan mengejut kebergantungan hasil kerajaan kepada hasil minyak dan penjarahan berterusan rizab Petronas. Saya kata Malaysia akan menghadapi risiko yang besar jika harga minyak jatuh sekali lagi ke bawah AS$30 satu tong,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sedangkan di bawah Pelan Transformasi Negara Kerajaan Barisan Nasional dahulu, objektif-objektif fiskal utama termasuk mengurangkan defisit dan nisbah hutang negara dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan ia berjaya.
”Defisit negara dan kebergantungan hasil minyak turun tiap-tiap tahun semasa saya PM. Kita turunkan defisit negara kepada 2.8% untuk tahun 2018.
”Tapi Guan Eng naikkan defisit semula. Sepatutnya defisit negara adalah 0.6% tahun ini tetapi kini dinaikkan ke 3.4% untuk tahun ini.
”Kita turunkan kebergantungan minyak dari 41% dari hasil kerajaan pada tahun 2009 menjadi 14% pada tahun 2017. Langkah ini berjaya dan ekonomi kita tidak lagi terdedah dengan risiko yang tinggi jika harga minyak tiba-tiba turun dengan banyak seperti berlaku pada tahun 2015 dan 2016 di mana harga minyak dunia rendah sehingga hanya US$28 satu tong.
”Oleh kerana langkah yang kita ambil itu, negara kita terselamat dari krisis pada masa itu,” tambah beliau.
Tetapi, kata Najib, Guan Eng telah menaikkan kebergantungan ini menjadi 33% semula dan mendedahkan negara kepada risiko besar.
Ditambah pula, rizab Petronas dijarah RM104 bilion, nisbah hutang negara sudah naik dari 48.7% kepada 53%, defisit negara juga sudah naik, GST sudah tiada untuk membendung ekonomi gelap, aset negara yang memberi pulangan kepada negara sudah berkurang dan kebergantungan kepada hasil minyak naik semula ke 33%.
Dan, ketika ini, wabak Covid-19 mengancam ekonomi seluruh dunia dan harga minyak dunia sudah merudum ke AS$45 dari paras AS$60 hingga AS$70 masa PH.
”Salah siapa sekarang?” soal Najib. – MalaysiaGazette