Friday, October 25, 2024

Creating liberating content

Polis Boleh Guna Budi...

KUALA LUMPUR - Polis diberi kebenaran menggunakan kuasa budi bicara terhadap larangan yang...

Suspek Songlap Telefon Bimbit...

SUSULAN penahanan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disyaki melakukan perbuatan jenayah cuba...

Mengamuk Tak Dapat Tapak,...

SETELAH hampir setahun mencetuskan fenomena festival fesyen, Mood Republik tampil dengan program Mood...

Khazanah Nasional Berhad Rugi...

KHAZANAH Nasional Berhad merekodkan kerugian sebelum cukai RM6.3 bilion pada 2018 berbanding untung...

Pakej PRIHATIN Tak Sentuh Rizab BNM

RAMAI menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu, namun ada juga tertanya-tanya mengenai sumber peruntukan besar yang disuntik, selain bimbang sama ada kerajaan mempunyai kewangan mencukupi untuk menampung pakej ini. Wartawan BH, Rohaniza Idris mendapatkan penjelasan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengenainya.

S. Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai sumber peruntukan besar Pakej PRIHATIN?

J: Pakej PRIHATIN membabitkan rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion – untuk melindungi rakyat (RM128 bilion), menyokong perniagaan (RM100 bilion) dan memperkukuhkan ekonomi (RM2 bilion). Sektor swasta menyumbang sebahagian besar jumlah ini. Contohnya, industri perbankan melalui moratorium bayaran balik pinjaman (RM100 bilion), sumbangan internet percuma oleh syarikat telekomunikasi (RM600 juta) dan pembiayaan diskaun elektrik kepada rakyat dan pelbagai sektor (RM1.3 bilion).

Melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), langkah pengurangan caruman pekerja serta kemudahan pengeluaran daripada akaun dua berpotensi menyuntik RM50 bilion ke dalam ekonomi. Kerajaan juga menyokong pakej rangsangan secara tidak langsung melalui pemberian jaminan kerajaan atas pinjaman sektor korporat bernilai RM50 bilion melalui dana jamin.

Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menyediakan kemudahan jaminan RM5 bilion, serta meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman. Langkah ini membantu syarikat mendapat pinjaman baharu demi kelangsungan perniagaannya.

Kerajaan memperuntukkan suntikan langsung tambahan RM25 bilion. Dalam keadaan krisis COVID-19, kerajaan akan membiayai perbelanjaan tambahan itu antara lain melalui sumbangan dividen tambahan, terutamanya daripada syarikat kerajaan seperti PETRONAS dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), serta sumbangan daripada agensi dan badan berkanun. Di samping itu, kerajaan mengenal pasti penjimatan perbelanjaan dari bidang bukan kritikal.

S: Apakah pakej diumumkan ini akan mendatangkan kesan kepada rizab negara?

J: Kerajaan tidak akan menyentuh sama sekali rizab antarabangsa diurus Bank Negara Malaysia (BNM) kerana penting untuk kelangsungan perdagangan antarabangsa. Kerajaan juga tidak menggunakan sepenuhnya rizab keuntungan syarikat kerajaan seperti PETRONAS dan Khazanah bagi memastikan syarikat itu mampu terus membuat pelaburan demi menjana pekerjaan, pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara. Selepas dilaksanakan Pakej PRIHATIN, kedudukan kerajaan masih kekal kukuh disokong dengan asetnya.

S. Apa mekanisme diguna pakai untuk pengagihan manfaat melalui Pakej PRIHATIN?

J: Kerajaan akan mengguna pakai mekanisme penyaluran serta pangkalan data sedia ada. Sebagai contoh, Bantuan Prihatin Nasional akan mengguna pangkalan data B40 dari Bantuan Sara Hidup, manakala data M40 dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Sebagai contoh lain, subsidi upah akan disalurkan melalui Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kita juga tubuhkan satu unit dipanggil LAKSANA, untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan semua inisiatif Pakej PRIHATIN bagi memastikan semua bantuan disalurkan kepada penerima disasarkan.

S. Benarkah peniaga bukan PKS tidak banyak terima manfaat melalui pakej PRIHATIN?

J: Peniaga bukan PKS – seperti peniaga mikro – penting kepada negara. Perniagaan mikro mereka punca pendapatan penting keluarga dan komuniti setempat seperti diandaikan Perdana Menteri melalui analogi Makcik Kiah.

Secara langsung, di bawah Pakej PRIHATIN, kerajaan memperuntukkan dana tambahan RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro untuk perniagaan mikro. Ini merangkumi RM200 juta disediakan BNM dan membawa keseluruhan dana ini kepada RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Peruntukan akan dikendalikan Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2 peratus tanpa cagaran. Syarat kelayakan pinjaman dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi. Jumlah pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha Taman Asuhan kanak-Kanak (Taska), operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian. Selain itu, program kewangan sosial akan diperkenalkan dengan kerjasama institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan pelaksana utama. Sumbangan kewangan sosial ini akan disalurkan dalam bentuk modal permulaan bagi usahawan mikro menggunakan dana zakat dan dipadan dengan pembiayaan mikro pada kadar berpatutan.

Kerajaan juga memastikan semua golongan mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ini. Sebagai contoh peniaga bukan PKS, kerajaan menyediakan kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion dengan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja.

S. Bagaimana kerajaan imbangi peruntukan diberi dengan kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat penularan COVID-19?


J: Dengan tambahan RM25 bilion ini, defisit fiskal tentunya meningkat. Bagaimanapun, kerajaan melaksanakan beberapa langkah peningkatan hasil dan pengurangan perbelanjaan operasi yang dapat mengurangkan defisit fiskal kepada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia lebih rendah berbanding 6.7 peratus pernah dicatatkan pada 2009 semasa Malaysia terkesan krisis kewangan global. Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

S: Apa harapan kerajaan melalui Pakej PRIHATIN?

J: Matlamat kerajaan dalam jangka masa terdekat untuk segera membendung wabak ini. Kita berharap jentera sektor ekonomi Malaysia mampu digerakkan semula dalam jangka masa tiga hingga enam bulan. Tetapi saya ingin tegaskan kejayaan pakej PRIHATIN dan pemulihan ekonomi Malaysia ini tertakluk kesungguhan rakyat untuk bekerjasama dalam mematuhi arahan PKP. Kita semua mampu menangani wabak jika semua rakyat berganding bahu, termasuk bersama-sama menggerakkan aktiviti ekonomi negara semula selepas tamat PKP.

S. Sejauh mana kesan pakej ini kepada sektor swasta, bagaimana dengan reaksi mereka?

J: Tiada pakej yang 100 peratus sempurna, namun saya dan pasukan di kementerian banyak menerima dan mengambil kira maklum balas rakyat, sektor swasta dan golongan peniaga dalam proses menggubal pakej ini. Saya mengatur perbincangan dengan dewan perniagaan dan persatuan yang mewakili pelbagai sektor swasta pada minggu ini dan hari yang akan datang. Maklum balas dan cadangan yang diterima akan diteliti supaya kementerian dapat memperhalusi pelaksanaan bantuan dalam Pakej PRIHATIN ini. Jika perlu, kita akan membuat pindaan atau pelarasan sepatutnya.

Ingin ditegaskan pakej rangsangan ini bagi menghadapi krisis ekonomi dan bukan menandakan dasar untuk belanjawan negara. Pakej ini untuk survival rakyat dan sektor perniagaan kita buat masa sementara ini.

S: Peruntukan untuk pakej PRIHATIN terlalu tinggi. Apa pandangan Datuk Seri?

J: Belanjawan bukanlah penanda aras kami dalam merangka pakej ini. Kita berhadapan satu situasi tidak pernah dihadapi dan penanda aras kerajaan dalam keadaan ekonomi global yang meruncing adalah apa yang diperlukan rakyat. Panduan kami adalah untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi.

Kerajaan mengambil tindakan proaktif dan berani dalam merangka pakej rangsangan terbesar untuk menangani antara cabaran terbesar yang pernah dihadapi dalam sejarah negara. Memahami krisis COVID-19, kita juga dapat lihat negara lain seperti Singapura dan Thailand mengumumkan pakej rangsangan yang besar bernilai AS$33.7 bilion dan AS$17 bilion masing-masing, serta terkini Amerika Syarikat mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$2 trilion.

S: Apa jangkaan pemulihan ekonomi negara jika penularan melebihi tempoh enam bulan?

J: Tinjauan penumbuhan dan KDNK akan diumumkan BNM beberapa hari lagi. Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan akan sentiasa memantau keadaan semasa. Buat masa ini, kerajaan akan meneruskan projek daripada Belanjawan 2020 seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT2), Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Perdana Menteri juga mengarahkan semua kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar dapat digunakan untuk menampung langkah jangka sederhana bagi menangani wabak ini. Proses untuk menyiapkan Belanjawan 2021 akan bermula tidak lama lagi dan pastinya kerajaan akan mengambil kira situasi terkini dari semasa ke semasa untuk memastikan ekonomi Malaysia kembali ke landasan lebih kukuh.

S: Apa maksud arahan kementerian mengkaji belanjawan masing-masing?

J: Penjimatan disasar lebih kurang 1 hingga 2 peratus. Yang lebih penting, matlamat belanjawan akan dikaji semula dan ada kemungkinan matlamat sesetengah belanjawan akan disesuaikan untuk matlamat lebih kritikal dalam menangani cabaran besar dihadapi ekonomi Malaysia masa kini. – BH Online

Kategori